Tuesday, May 19, 2009






Selatan: Dana SKM RM10j jana Koperasi Melayu Muar

MUAR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diminta meluluskan dana sebanyak RM10 juta kepada Koperasi Melayu Muar Berhad bagi membolehkan institusi itu melaksanakan program yang boleh menjana ekonomi ahli. Ahli Lembaga Pengarahnya, Kahar Mashuri, berkata pihak koperasi menyusun empat program pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan mulai pertengahan bulan ini. Beliau berkata, antara aktiviti yang bakal dilaksanakan ialah pembangunan hartanah dan perumahan, perladangan dan pertanian serta perniagaan dan perusahaan.
Bagaimanapun, katanya, tanpa dana yang mencukupi semua aktiviti yang dirangka tidak boleh dilaksanakan dengan berkesan kecuali mendapat bantuan kerajaan. "Justeru, pihak koperasi berharap SKM mengusahakan dana yang cukup bagi membantu pihak koperasi melaksanakan program pembangunan yang dikenal pasti mampu menambah pendapatan dan ekonomi ahli. "Ia kerana pelaburan ahli termasuk yuran pendaftaran sebanyak RM100 yang ditetapkan pihak koperasi masih tidak mencukupi bagi membiayai projek yang dirancang itu," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali, di Balai Serbaguna Kampung Air Manis, Air Hitam di sini, kelmarin. Hadir sama Penolong Pengarah SKM Wilayah Muar, Tukiman Sarno. Sementara itu, mesyuarat itu mengambil keputusan sebulat suara mengekalkan semua 12 ahli lembaga penaja koperasi berkenaan sebagai ahli lembaga pengarah bagi tempoh 2009 - 2011 yang dipengerusikan, Abd Razak Kassim. Mesyuarat juga melantik Mohd Najib Mohd Ali dan Mohd Khaliq Abd Razak sebagai setiausaha dan setiausaha kerja, manakala Abd Kadir Omar, bendahari.
Abd Razak berkata, setakat ini seramai 80 penduduk Bakri khususnya di Air Hitam menyertai koperasi itu dengan pelaburan terkumpul RM5,000. Beliau berkata, keahlian koperasi itu terbuka kepada semua penduduk dalam kawasan Parlimen Bakri dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-3770444 (Razak) dan 012-6022393 (Haji Kahar).

No comments:

Post a Comment