Tuesday, July 21, 2009

(Sumber Berita Harian 22/07/09)
Johor: 40 pelajar perintis sukarelawan derma darah

MUAR: Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Amar Diraja dan SMK Tun Perak serta Pergerakan Puteri Umno, menjadi perintis pasukan sukarelawan untuk menyemai kesedaran generasi muda mengenai tanggungjawab menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan. Majlis pelancaran pasukan itu diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2009 peringkat daerah Muar yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md Ali, di Dewan Jubli Intan, di sini. Turut hadir Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Pauzi Abu dan Pengerusi Persatuan Derma Darah Muar, Othman Taib.

Abdullah dalam ucapannya, berkata penubuhan sukarelawan itu melalui inisiatif Persatuan Penderma Darah Muar, adalah langkah mulia dan prihatin bagi membantu pesakit yang memerlukan darah. Katanya, melalui program itu, generasi muda akan dapat melatih diri mereka mengenai peranan mereka untuk menderma darah yang boleh dilaksanakan secara berterusan sehingga mereka dewasa, sekali gus membantu mengisi tabung darah di hospital. "Tidak mudah untuk kita secara sukarela melaksanakan program derma darah jika tidak mempunyai semangat dan kekuatan dalam diri dan ini seharusnya dapat mendidik generasi muda," katanya.

Katanya, penubuhan sukarelawan derma darah itu adalah kali pertama diadakan dan beliau berharap lebih ramai golongan remaja dan belia termasuk pelajar tampil menyertainya. Beliau berkata, HPSF sendiri memerlukan kira-kira 10,000 pain darah setahun bagi menampung keperluan pesakit termasuk kes kecemasan menyebabkan mereka sentiasa mengalu-alukan penderma baru. Sementara itu, Othman berkata, penubuhan sukarelawan derma darah itu dijalankan bagi menggalakkan penderma baru dan tetap secara sukarela sejak mereka di bangku sekolah rendah. Katanya, melalui langkah itu, diharap generasi muda akan dapat memahami program derma darah sebagai satu tanggungjawab mereka bagi membantu orang ramai sekali gus membentuk golongan yang memahami kesulitan orang lain serta berusaha membantunya.
"Sebagai permulaan, program itu disertai 40 sukarelawan derma darah dan kita mensasarkan lebih ramai pelajar sekolah dan remaja akan menyertainya dalam usaha membentuk generasi yang bersedia menderma darah bagi membantu orang lain," katanya. Orang ramai yang berminat menyertai pasukan sukarelawan derma darah diminta menghubungi HPSF di 06-9521901 atau hadir ke Unit Tabung Darah, Jabatan Patologi HPSF.

Monday, July 20, 2009
















Pada 05.07.2009 bertempat di Balai JKKK Pekan Bakri telah berlangsung satu Majlis Gerak Tumpu 2009 ( ZON 6 ) yang di rasmikan oleh YB Datuk Abdullah Md Ali ADUN Bkt Naning. Dalam majlis tersebut YB Datuk Abdullah sempat meluangkan masa melawat pertandingan mewarna , yang disertai oleh pelajar- pelajar tadika yang berhampiran, dalam masa yang sama YB Datuk juga sempat menanam pokok sebagai tanda Perasmian Majlis yang di anjurkan oleh MAJLIS PERBANDARAN MUAR serta kerjasama daripada MCA Bakri.









Pada 18.07.2009 bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Bakri, satu pertandingan Bola Keranjang peringkat Kebangsaan kali ke 15 telah berlangsung selama seminggu. Pada kejohanan tersebut YB Datuk Abdullah Md Ali ADUN Bkt Naning telah merasmikan kejohanan tersebut. Dalam kejohanan tersebut di sertai oleh Ahli Gabungan Bola Keranjang Malaysia ( MBA ) kira - kira seramai 20 pasukan. Dalam pertandingan tersebut Pasukan dari Johor telah muncul Johan mengalahkan pasukan daripada Kuala Lumpur.Dalam majlis tersebut YB Datuk Abdullah memuji sikap pemain dalam satu pasukan , yang disertai oleh berbilang kaum, sama seperti mengikut seruan kerajaan Malaysia iaitu 1 MALAYSIA.












Pada 18.07.2009 bertempat di Dewan Jubli Intan, satu Program Kempen Derma Darah Sedunia 2009 Dan Pelancaran Sukarelawan Derma Darah Muar telah diadakan anjuran Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar ( HPSFM ) .Dalam majlis tersebut seramai 50 orang sukarelawan penderma darah telah menderma darah, antara penderma tersebut dari golongan NGO,Badan Kerajaan, termasuk daripada Parti Komponen Barisan Nasional.Pada majlis tersebut YB Datuk Abdullah Md Ali selaku ADUN Bkt Naning telah merasmikan majlis tersebut. Dalam masa yang sama YB Datuk telah menyampaikan sumbangan kepada Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar serta menyampaikan anugerah kepada Penderma - penderma Darah. Majlis itu juga dapat kerjasama daripada Persatuan Lembaga Pelawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.


(Sumber Berita Harian 20/07/2009)

Selatan: Pembinaan bangunan MAYC Bakri disambung

MUAR: Pembinaan bangunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) kawasan Parlimen Bakri yang tertangguh lima tahun lalu, berikutan kekurangan peruntukan, kini disambung semula. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali, berkata projek itu disambung semula dan dilaksanakan sejak Mac lalu selepas persetujuan dicapai bahawa bangunan itu hanya dibina setingkat. Beliau berkata, persatuan memohon peruntukan kerajaan RM500,000 bagi membina bangunan dua tingkat untuk dijadikan pusat kegiatan persatuan itu, pentadbiran dan sukan, pada 2004.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, ketika itu hanya meluluskan peruntukan RM300,000 dan jumlah itu hanya mencukupi untuk kos pembinaan bangunan setingkat. Beliau berkata, disebabkan peruntukan itu tidak dapat memenuhi hasrat persatuan yang sudah pun menyediakan pelan bangunan dua tingkat, pembinaan projek itu terpaksa ditangguhkan. "Bagaimanapun, hasil perbincangan pihak persatuan dengan wakil rakyat, akhirnya persetujuan dicapai supaya pembinaan bangunan itu diteruskan walaupun kosnya hanya untuk membina bangunan setingkat.

"Langkah itu bertujuan mengelak peruntukan yang sudah diluluskan itu dipindahkan kepada projek lain," katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan pembinaan projek berkenaan, di sini, kelmarin. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Jeram, Salleh Ahmad Shukur; Pengerusi JKKK Sungai Abong, Kahar Mashuri dan Penggerak Modul Sakinah DUN Bukit Naning, Ismail Moin. Abdullah yang juga bekas Ketua Umno bahagian Bakri berkata, bangunan itu dibina di atas tapak bangunan lama yang dirobohkan selepas keadaannya usang dan tidak selamat lagi digunakan. Beliau berkata, pembinaan bangunan MAYC Bakri diasaskan bekas Pengerusi MAYC Johor, Allahyarham Salleh Kasmin, yang juga bekas Exco Pertanian dan Perikanan negeri pada 1960.

"Bangunan baru ini akan dilengkapkan dengan beberapa kemudahan bagi meningkatkan kegiatan belia termasuk bilik mesyuarat dan dewan persidangan serta gelanggang sukan," katanya. Sementara itu, Setiausaha MAYC Bakri, Shalihuddin Abas, berkata walaupun bangunan lama yang pernah menjadi pusat kegiatan sejak lebih 30 tahun itu dirobohkan, namun anggota persatuan meneruskan aktiviti di bangunan Majlis Belia Daerah Muar (MBDM), Jalan Timbalan, di sini. Beliau berkata, bagi memantapkan lagi pertubuhan belia di daerah ini, MAYC turut menjadi ahli gabungan MBDM sekali gus dapat menjamin setiap kegiatan yang dianjurkan mencapai kejayaan dan memberi manfaat kepada golongan belia.

Monday, July 13, 2009




Dipetik dari Berita Harian (12/07/09)
Selatan: Ibu bapa perlu terap budaya cemerlang

MUAR: Ibu bapa diingatkan supaya tidak memperlekehkan bakat yang ada pada anak-anak, sebaliknya menerapkan budaya kecemerlangan terutama dalam bidang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali, berkata kesilapan ibu bapa yang sering mengabaikan kejayaan anak pada peringkat sekolah rendah juga boleh melemahkan semangat mereka untuk terus menimba ilmu pengetahuan. Beliau berkata, generasi muda yang tidak dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan menyebabkan ramai remaja masa kini terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah seperti gejala sosial, maksiat dan jenayah.





"Keadaan seumpama itu jika dibiarkan berterusan bukan saja boleh menjejaskan imej sesebuah keluarga dan masyarakat, malah turut merugikan bangsa dan negara. "Negara memerlukan generasi berilmu bagi membolehkan mereka meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu dan sekarang untuk menjana ekonomi dan pembangunan bagi kesejahteraan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan 2008 Sekolah Agama Simpang Jeram, Bakri, di sini, kelmarin.
Hadir sama, guru besar sekolah itu, Juraimi Mohamad; Pengerusi Badan Kebajikan, Giman Liput serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Salleh Ahmad Shukur. Abdullah yang juga bekas murid sekolah agama kampung itu berkata, kejayaannya dalam bidang pendidikan sehingga memiliki diploma dan ijazah daripada beberapa pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara bermula di peringkat sekolah rendah Melayu dan agama di kampung itu. Beliau berkata, sebaik menyandang jawatan guru sekolah agama di beberapa sekolah agama di daerah ini, beliau berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan di peringkat menengah sehingga mencapai kelulusan bagi membolehkannya melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi.