Monday, June 22, 2009




ARKIB : 22/06/2009 UTUSAN MALAYSIA

RM15 juta lengkapkan kemudahan infrastruktur Bukit Naning

MUAR 21 Jun - Peruntukan berjumlah RM15 juta disalurkan kerajaan tahun ini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning dalam memperlengkapkan kemudahan infrastruktur awam di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md. Ali berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai projek termasuk membina masjid, surau dan balai raya baru selain mengemas kini sistem perparitan di kawasan tersebut.

"Dalam peruntukan ini, sebanyak RM5.7 juta daripadanya adalah untuk membina tiga buah masjid baru di kawasan DUN Bukit Naning.

"Di samping itu, usaha juga dilaksanakan untuk menaik taraf lagi sistem perparitan serta membantu membina surau-surau dan balai raya yang amat diperlukan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peruntukan kecil DUN Bukit Naning kepada 53 penerima di Kompleks Penghulu Air Hitam di sini hari ini.

Menurut Abdullah, projek-projek pembinaan infrastruktur berkenaan sedang giat dilaksanakan dan ia dijangka dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Jelasnya, kerajaan Barisan Nasional amat prihatin kepada keperluan masyarakat setempat dengan segala isu tempatan diambil kira kepentingannya.

"UMNO dan Barisan Nasional perlu sentiasa turun padang serta memperkemaskan jentera parti tanpa menunggu waktu pilihan raya.

"Kita juga hendaklah bersikap proaktif bagi menyelesaikan masalah rakyat sehingga ke peringkat akar umbinya," katanya.

Sementara itu, jelas Abdullah, selain daripada pembangunan aspek fizikal, pihaknya turut memberi perhatian terhadap pembangunan kemasyarakatan menerusi penganjuran Sukan Jawatankuasa Pembangunan Mukim-Mukim (JPMM) DUN Bukit Naning yang berlangsung hari ini.

Katanya, temasya yang mempertandingkan empat acara sukan iaitu bola jaring, bola tampar, bola sepak serta sepak takraw itu nyata menerima sambutan yang amat menggalakkan terutamanya daripada golongan belia di kawasan DUN tersebut.

No comments:

Post a Comment