Tuesday, July 21, 2009

(Sumber Berita Harian 22/07/09)
Johor: 40 pelajar perintis sukarelawan derma darah

MUAR: Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Amar Diraja dan SMK Tun Perak serta Pergerakan Puteri Umno, menjadi perintis pasukan sukarelawan untuk menyemai kesedaran generasi muda mengenai tanggungjawab menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan. Majlis pelancaran pasukan itu diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2009 peringkat daerah Muar yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md Ali, di Dewan Jubli Intan, di sini. Turut hadir Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Pauzi Abu dan Pengerusi Persatuan Derma Darah Muar, Othman Taib.

Abdullah dalam ucapannya, berkata penubuhan sukarelawan itu melalui inisiatif Persatuan Penderma Darah Muar, adalah langkah mulia dan prihatin bagi membantu pesakit yang memerlukan darah. Katanya, melalui program itu, generasi muda akan dapat melatih diri mereka mengenai peranan mereka untuk menderma darah yang boleh dilaksanakan secara berterusan sehingga mereka dewasa, sekali gus membantu mengisi tabung darah di hospital. "Tidak mudah untuk kita secara sukarela melaksanakan program derma darah jika tidak mempunyai semangat dan kekuatan dalam diri dan ini seharusnya dapat mendidik generasi muda," katanya.

Katanya, penubuhan sukarelawan derma darah itu adalah kali pertama diadakan dan beliau berharap lebih ramai golongan remaja dan belia termasuk pelajar tampil menyertainya. Beliau berkata, HPSF sendiri memerlukan kira-kira 10,000 pain darah setahun bagi menampung keperluan pesakit termasuk kes kecemasan menyebabkan mereka sentiasa mengalu-alukan penderma baru. Sementara itu, Othman berkata, penubuhan sukarelawan derma darah itu dijalankan bagi menggalakkan penderma baru dan tetap secara sukarela sejak mereka di bangku sekolah rendah. Katanya, melalui langkah itu, diharap generasi muda akan dapat memahami program derma darah sebagai satu tanggungjawab mereka bagi membantu orang ramai sekali gus membentuk golongan yang memahami kesulitan orang lain serta berusaha membantunya.
"Sebagai permulaan, program itu disertai 40 sukarelawan derma darah dan kita mensasarkan lebih ramai pelajar sekolah dan remaja akan menyertainya dalam usaha membentuk generasi yang bersedia menderma darah bagi membantu orang lain," katanya. Orang ramai yang berminat menyertai pasukan sukarelawan derma darah diminta menghubungi HPSF di 06-9521901 atau hadir ke Unit Tabung Darah, Jabatan Patologi HPSF.

No comments:

Post a Comment