Monday, July 20, 2009

(Sumber Berita Harian 20/07/2009)

Selatan: Pembinaan bangunan MAYC Bakri disambung

MUAR: Pembinaan bangunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) kawasan Parlimen Bakri yang tertangguh lima tahun lalu, berikutan kekurangan peruntukan, kini disambung semula. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali, berkata projek itu disambung semula dan dilaksanakan sejak Mac lalu selepas persetujuan dicapai bahawa bangunan itu hanya dibina setingkat. Beliau berkata, persatuan memohon peruntukan kerajaan RM500,000 bagi membina bangunan dua tingkat untuk dijadikan pusat kegiatan persatuan itu, pentadbiran dan sukan, pada 2004.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan, ketika itu hanya meluluskan peruntukan RM300,000 dan jumlah itu hanya mencukupi untuk kos pembinaan bangunan setingkat. Beliau berkata, disebabkan peruntukan itu tidak dapat memenuhi hasrat persatuan yang sudah pun menyediakan pelan bangunan dua tingkat, pembinaan projek itu terpaksa ditangguhkan. "Bagaimanapun, hasil perbincangan pihak persatuan dengan wakil rakyat, akhirnya persetujuan dicapai supaya pembinaan bangunan itu diteruskan walaupun kosnya hanya untuk membina bangunan setingkat.

"Langkah itu bertujuan mengelak peruntukan yang sudah diluluskan itu dipindahkan kepada projek lain," katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan pembinaan projek berkenaan, di sini, kelmarin. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Jeram, Salleh Ahmad Shukur; Pengerusi JKKK Sungai Abong, Kahar Mashuri dan Penggerak Modul Sakinah DUN Bukit Naning, Ismail Moin. Abdullah yang juga bekas Ketua Umno bahagian Bakri berkata, bangunan itu dibina di atas tapak bangunan lama yang dirobohkan selepas keadaannya usang dan tidak selamat lagi digunakan. Beliau berkata, pembinaan bangunan MAYC Bakri diasaskan bekas Pengerusi MAYC Johor, Allahyarham Salleh Kasmin, yang juga bekas Exco Pertanian dan Perikanan negeri pada 1960.

"Bangunan baru ini akan dilengkapkan dengan beberapa kemudahan bagi meningkatkan kegiatan belia termasuk bilik mesyuarat dan dewan persidangan serta gelanggang sukan," katanya. Sementara itu, Setiausaha MAYC Bakri, Shalihuddin Abas, berkata walaupun bangunan lama yang pernah menjadi pusat kegiatan sejak lebih 30 tahun itu dirobohkan, namun anggota persatuan meneruskan aktiviti di bangunan Majlis Belia Daerah Muar (MBDM), Jalan Timbalan, di sini. Beliau berkata, bagi memantapkan lagi pertubuhan belia di daerah ini, MAYC turut menjadi ahli gabungan MBDM sekali gus dapat menjamin setiap kegiatan yang dianjurkan mencapai kejayaan dan memberi manfaat kepada golongan belia.

No comments:

Post a Comment